Showing posts with label Kaulah syurgaku.... Show all posts
Showing posts with label Kaulah syurgaku.... Show all posts

Monday, November 29, 2010

Cinta kerana ALLAH

Sebelum ini aku pernah publish entry mengenai cinta pertama. Dan aku akui bahawa aku tak faham istilah cinta kerana Allah, jadi sebagai inisiatif dan tuntutan agama bahawa kita perlu mencari ilmu maka aku berusaha hingga aku temui artikel ini. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat darinya.

Allah menciptakan semua makhluk berpasang-pasangan. Hal ini dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi atau daripada diri mereka ataupun daripada apa yang mereka tidak mengetahuinya.”

(Ya Sin 36:36)

Manusia diciptakan terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Lantaran itu Allah mensyariatkan perkahwinan. Perkahwinan merupakan satu ibadah. Ia mengandungi hikmah tertentu. Jika dihayati dengan sebenarnya pasti akan membuahkan natijah yang baik dan menguntungkan di dunia dan akhirat. Antara hikmah perkahwinan menurut Islam adalah untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Ar-Rum 30:21)

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t. menerangkan bahawa Dialah yang mencetuskan rasa kasih, sayang dan kemesraan antara suami dan isteri. Dan kasih sayang itu adalah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya. Secara tidak langsung dapat difahami bahawa cinta yang terjalin antara lelaki dan wanita yang bukan suami isteri bukanlah sesuatu yang datang daripada Allah. Ia adalah hasutan syaitan dan kehendak nafsu semata-mata. Justeru, suami isteri harus sedar bahawa cinta yang terjalin antara mereka bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan fitrah, malah ia satu anugerah, rahmat dan nikmat daripada Yang Maha Esa. Maka demi mengekalkan rahmat dan nikmat yang sangat berharga, suami isteri harus meningkatkan rasa cinta mereka ke tahap yang lebih tinggi, lebih murni dan abadi, daripada cinta kerana ikatan ijab dan qabul kepada cinta kerana Allah.

Cinta kerana Allah adalah ikatan cinta yang dijalin di atas asas iman dan akidah. Seseorang yang mencintai saudaranya kerana Allah akan meletakkan saudaranya lebih utama daripada dirinya sendiri. Menurut asy-Syahid Hasan al-Banna, kasih sayang yang paling rendah ialah bersikap terbuka dan berlapang dada, dan yang paling tinggi ialah mengutamakan saudara. Sikap terbuka dan berlapang dada amat penting demi mengekalkan rasa cinta dan kasih sayang. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Jangan kamu putuskan hubungan dan tidak bertegur sapa, jangan benci-membenci dan dengki-mendengki. Jadilah kamu hamba-hamba Allah, sebagai saudara antara satu sama lain. Tidak halal bagi seseorang Muslim meninggalkan saudaranya (dalam keadaan bergaduh) lebih daripada tiga hari.”

(Riwayat al-Bukhari)

Berlapang dada juga bermaksud tidak bersangka buruk dan mencari-cari kesalahan dan kesilapan kemudian menghebahkannya kepada orang lain. Semua itu sangat dilarang oleh Allah. Dalam sepotong ayat, Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”

(Al-Hujurat 49:12)

Orang yang berkasih sayang kerana Allah sentiasa mengamalkan sikap toleransi, saling bermaafan dan tidak membesar-besarkan kesalahan saudaranya. Contoh terbaik adalah sikap pemaaf Rasulullah s.a.w. ketika menerima kekalahan dalam peperangan Uhud yang berpunca daripada segolongan sahabat tidak mematuhi arahan baginda. Peristiwa ini dirakamkam oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Ali Imran 3:159)

Dalam hubungan ini, Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang meminta maaf kepada saudaranya yang Muslim, tetapi dia tidak memaafkannya, maka dia (saudaranya itu) menanggung dosa seperti pemungut cukai (secara tidak sah).”

(Riwayat Ibn Majah)

Cinta kerana Allah mementingkan pelaksanaan tanggungjawab lebih daripada menuntut hak. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Kewajipan Muslim ke atas saudaranya yang Muslim enam perkara:

  1. Memberi salam ketika berjumpa
  2. Memenuhi jemputannya
  3. Memberi nasihat
  4. Memohon rahmat ketika dia bersin
  5. Menziarahinya ketika dia sakit
  6. Mengiringi jenazahnya apabila dia telah meninggal dunia.”

(Riwayat Muslim)

Cinta kerana Allah juga tidak mengharap balasan dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan duniawi. Yang diharapkan hanyalah ganjaran daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman (maksudnya):

“Orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, untuk mereka singahsana daripada cahaya yang sangat indah. Mereka dicemburui oleh anbia’ dan syuhada.’”

(Riwayat at-Tirmizi)

Seandainya suami isteri dengan penuh sedar mencintai pasangannya kerana Allah dan menghayati segala tuntutannya, maka keindahan hidup ini bukan sahaja dapat dikecapi oleh mereka berdua, sebaliknya akan melimpah ruah ke dalam masyarakat, negara dan alam seluruhnya kerana rumahtangga adalah batu-bata yang membentuk masyarakat. Baik rumahtangga, sejahteralah masyarakat.

Ustazah Maznah Daud

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Thursday, November 18, 2010

Kelebihan pelukan yang tidak kita ketahui

Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun.

Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, fakta berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan antara sentuhan dan tahap kesihatan.

“Seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.

“Bagaimanapun, sebagai seorang Islam kita tidak harus lupa ajal dan maut terletak di tangan Allah,” katanya ketika memberi syarahan bertajuk Perkahwinan dan Seks: Penawar dan Rawatan Bagi Banyak Penyakit’ di Persidangan Ketiga Perubatan Daripada Perspektif Islam anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya di Hotel Sheraton Subang di sini hari ini.

Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan.

Jelasnya, selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w. Tambah beliau, ada kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri.

“Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan berat badan digalakkan peluk isterinya lebih kerap,” katanya disambut dengan gelak ketawa oleh peserta persidangan itu.Jelas beliau, hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk awet muda dan berketerampilan menarik.

“Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri,” kata Fadzilah.

-------------------------------------------------------------------------------------------

So, all husband out there... what are you waiting for? go and hug your wife... i'll hug my hubby even more after this.. hihihihi..

Monday, November 15, 2010

Antara lemah dan lembut...

Ujar lelaki, wanita itu lemah

Ujar wanita, mereka adalah lembut

Antara lemah Dan lembut… ..

besar perbezaannya

Namun Ada yang tidak rela mengakuinya

Telah ditakdirkan …

kerana lembut wanita

Tidak gemar perbalahan..

Kecuali jika terpaksa

Lalu wanita pun diam…

Diam seolah-olah menerima…

Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan

Dalam diam ,wanita terus terusan bekerja

Di pejabat sebagai kerani… di rumah sebagai suri

Dari sebelum tercalit garis putih di subuh Hari

Hingga jarum jam tegak bertindih jari

Lelaki yang mengaku kuat .

celik Mata sarapan sudah terhidang

Apabila pulang dari pejabat…

di kerusi malas longlai terlentang

Isteri dikatakan lemah…

bergelut di dapur memasak

Suami yang mengaku gagah…

bersantai di hadapan TV tidak bergerak

Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak

Menyapu sampah,mengemas rumah yang berselerak

Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak

Berehat,menonton TV sambil tergelak

Dalam diam wanita dianggap lemah…

terus berlumba dengan masa

Memandikan anak, melipat pakaian dan membasuh baju

Kakitangan semua digerakkan dengan laju

Menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu

Sebelum solat Magrib untuk sujud…

Menyembah yang Satu

Makanan dihidang selepas solat

Selesai kerja rumah,anak-anak diajar mengaji

Sedang suami tersadar semula seperti tadi

Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji

Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan

Lelaki terpelajar celik hati…

Ingin menghapuskan diskriminasi

Lantang membela nasib wanita… .

Memberi kesedaran supaya segera bangkit

Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adab tradisi

Hukum agama telah terpapar

Tugas suami mengemas rumah,menjaga anak

Membasuh pakaian,menyediakan makanan

Jika suami tidak terdaya melakukannya

Seorang pembantu wajar disediakan

Lelaki yang hanyut dalam keasyikan

Tidak mampu menerima perubahan

Rela bertahan bagaimana jua

Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati

Dalam diam

Wanita yang sering dianggap lemah

Meneruskan hidup dalam segala kekuatan

‘KeKaYaaN YaNg PaLiNg KaYa iaLaH AKAL,

KeMiSkiNaN YaNg PaLiNg BeSaR iaLaH JAHIL,

KeBuRuKaN YaNg PaLiNg HoDoH iaLaH SESAT’

Tak perlu mencari teman secantik BALQIS,

Jika diri tak seindah SULAIMAN,

Mengapa mengharap teman setampan YUSUF,

Jika kasih tak setulus ZULAIKHA,

Tak perlu diri menjadi seteguh IBRAHIM,

Jika tak sekuat SARAH,

Mengapa didamba teman hidup seistimewa KHADIJAH,

Jika diri tak sesempurna RASULULLAH S.A.W,

Tak guna Ada MATA kalau tak dapat MELIHAT,

Tak guna Ada HATI kalau tak tau MENILAI..

Sumber : Sebutir kasih sejuta sayang


Maka dengan itu, mengertilah wahai insan yang bergelar suami..... Bukan ku pinta segunung pujian, tidak ku damba diagung-agungkan, hanya ku pinta sekelumit pengertian dari seorang insan yang ku panggil suami. Hati ini terlalu rapuh untuk dipatahkan, perasaan ini terlalu mudah untuk dikecewakan, kerana kau terlalu ku sayangi.

Dia isteri...

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati
Penajam fikiran
Di rumah dia isteri
Di jalanan dia kawan
...Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan
Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberikan dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan
Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur diwaktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya
Dia umpama tongkat si buta bila tiada kita kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu sentiasa kekal untuk diwariskan


Sumber : tak ingat dah laman web die...